Bank mesti manfaat perkongsian untung: TPM
KUALA LUMPUR, Jumaat – Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata perbankan Islam akan terus berkembang
pada kadar yang perlahan jika konsep perkongsian keuntungan tidak dimanfaatkan
sepenuhnya.
Menurutnya lagi perkongsian keuntungan adalah sama dengan konsep
perkongsian pintar yang mana bank memainkan peranan sebagai rakan kongsi, bukan
sekadar sebagai pemberi pinjaman semata-mata.
“Sebagai rakan kongsi, bank sepatutnya mula-mula sekali mengambil langkah
mengenal pasti syarikat atau individu yang jujur dan boleh dipercayai untuk
menjadi rakan kongsi perniagaan mereka dan langkah keduanya mengguna pakai
analisis dan pengurusan yang ketat bagi memastikan keuntungan serta daya maju
projek itu,” katanya pada majlis pelancaran minggu Perbankan Islam dan Takaful
di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu menjalankan kajian terperinci dan
penilaian terhadap sesuatu projek termasuk mengambil kira pandangan seseorang
usahawan manakala sebagai rakan kongsi pintar, kedua-dua pihak perlu bekerjasama
dalam menguruskan perusahaan itu.
Beliau berkata, perkongsian pengetahuan dan risiko ini akan mengurangkan
kebimbangan bank terhadap risiko kredit dan menyediakan mereka dengan
pengetahuan yang lebih besar dalam mengendali serta menjalankan perusahaan.
“Sebagai rakan kongsi, bank perlu mengambil berat terhadap perkara berkaitan
perniagaan. Oleh itu saya berharap, satu hari kelak kita akan dapat melihat
sekumpulan bank yang bukan saja pakar dalam kewangan tetapi juga berpengetahuan
dalam aspek perniagaan sesuatu perusahaan,” katanya.
Mengikut konsep perkongsian keuntungan itu, kerugian perlu dikongsi mengikut
kadar kepada modal pembiayaan yang disumbangkan kepada projek.
Berdasarkan kepada pengaturan ini, perkongsian kerugian akan mengukuhkan tadbir
urus korporat kerana kedua-dua pihak akan bertanggungjawab kepada prestasi
perusahaan itu.
Abdullah berkata, bank yang berfungsi sebagai rakan kongsi perniagaan juga boleh
membantu meningkatkan keupayaan syarikat dan tidak akan membiarkannya tidak
aktif atau rugi.
“Risiko kegagalan korporat daripada kelemahan pengurusan risiko boleh
diminimumkan,” katanya sambil menambah konsep perkongsian keuntungan sangat
relevan kepada Malaysia kerana kerajaan terus memajukan perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) sebagai jentera pemacu untuk merangsangkan ekonomi.